11 Subjek Universiti Tempatan Diiktiraf Antara Terbaik Dunia

QS Ranking 2017

BESUT - Penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings by Subject 2017 menyaksikan 11 mata pelajaran di empat universiti tempatan tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jumlah itu menunjukkan lonjakan ketara berbanding hanya tiga mata pelajaran diiktiraf QS pada tahun lalu.

Menurutnya, semua mata pelajaran yang diiktiraf tersebut membabitkan tiga universiti awam dan sebuah universiti swasta.

"Universiti Malaya (UM) mencatatkan senarai paling banyak mata pelajaran dalam kelompok terbaik dunia iaitu mata pelajaran Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (di tangga ke 23, Pengajian Pembangunan (26), Kejuruteraan Mekanikal (33), Kejuruteraan Kimia (38) dan Pendidikan di tangga 41 dunia.

"Universiti Sains Malaysia (USM) pula dicatatkan universiti kedua negara paling banyak kursus diiktiraf antara terbaik dunia melalui kursus Pengurusan Hospitaliti dan Percutian di tangga ke 32, Mineral dan Perlombongan (35), Kejuruteraan Kimia (38) dan Sains Persekitaran di tangga 49", katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Digital Hub Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Auditorium, Fakulti Informatik dan Komputeran UniSZA Kampus Besut semalam.

Idris berkata lagi, mata pelajaran Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan Universiti Taylor pula berada di tangga ke 29 dunia manakala mata pelajaran Pengajian Agama, Teologi dan Diviniti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di tangga ke 46.

Menurutnya, beliau amat berbangga dengan peningkatan kedudukan program-program universiti tempatan ketika ini hasil usaha dan perubahan yang dilaksanakan dari masa ke semasa.

Sumber: Sinar Harian (Kelantan), 09 Mac 2017