counter stats

Identiti Tempatan Dalam Rekaan Prostetik

Identiti Tempatan Dalam Rekaan Prostetik
SOKET prostetik adalah komponen yang menyambungkan tangan dan kaki palsu ke bahagian tubuh yang kudung

REVOLUSI rekaan prostetik atau alat pengganti bahagian tubuh yang tiada atau tidak berfungsi seperti kaki dan tangan sedikit sebanyak memberi sinar baharu untuk golongan cacat anggota menjalani kehidupan mereka dengan lebih berkualiti.

Jangankan untuk berjalan, teknologi prostetik moden membolehkan pengguna berlari, mengayuh basikal malah mencipta rekod mendaki gunung tertinggi di dunia.

Selain memberi keutamaan fungsi, inovasi pembuatan komponen anggota tiruan itu juga turut memberi tumpuan kepada aspek kosmetik dan rupa bentuk mengikut trend terkini dan cita rasa pengguna.

Lantaran itu, apabila Muhammad Hairuman Miskon, 27, diberitahu soket tangan palsunya boleh dihasilkan dalam corak batik yang dibangunkan penyelidik Universiti Malaya, dia berasa begitu teruja.

Soket prostetik adalah komponen yang menyambungkan tangan dan kaki palsu ke bahagian tubuh yang kudung. Biasanya, ia diwarnakan mengikut warna kulit manusia.

“Meskipun saya tiada masalah memakai soket biasa, secara peribadi saya lebih menyukai dan gembira mengenakan soket bercorak sebegini.

“Anggota palsu ibarat pakaian buat kami. Ia sebahagian daripada diri kami,” ujarnya ketika ditemui di kampus Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Muhammad Hairuman terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika sedang mengait buah kelapa sawit di kebun di Sungai Tengi Kanan Darat, Tanjong Karang, Selangor pada November 2010.

Rentetan insiden itu, kedua-dua belah tangan dan kaki kirinya terpaksa dipotong apabila doktor mendapati anggota berkenaan tidak boleh diselamatkan.

“Saya tidak menganggap dunia sudah berakhir. Saya juga tidak berasa bernasib malang kerana sedar ramai lagi insan di dunia ini nasib mereka lebih malang,” katanya.

Soket baharu

Penyelaras Pusat Kejuruteraan Prostetik dan Ortotik (CPOE) Universiti Malaya, Dr. Nasrul Anuar Abd. Razak berkata, pihaknya giat menjalankan pelbagai penyelidikan demi meningkatkan nilai tambah teknologi prostetik yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak semasa.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan di Fakulti Kejuruteraan itu menambah, satu daripadanya adalah membangunkan soket prostetik bercorak batik bertujuan memberi lebih pilihan kepada pengguna.

Katanya, setiap soket adalah khusus untuk pengguna itu sahaja, bergantung pada bentuk, saiz, dan kedudukan anggota tubuh seseorang sementelah volum tubuh manusia dianggar berubah 0.06 peratus setiap hari.

“Justeru, sekiranya berlaku sebarang perubahan fizikal seperti kesusutan berat badan atau tumbesaran untuk kanak-kanak, maka soket baharu perlu dibuat.

“Secara purata soket prostetik perlu diganti antara dua hingga dua tahun bergantung keadaan dan kesesuaian komponen itu dengan pengguna.

“Justeru, golongan tersebut dapat menjalani kehidupan hampir serupa dengan insan lain yang lengkap anggota fizikalnya,” jelasnya.

Tambah Nasrul Anuar, kadar pemakaian anggota palsu dalam golongan yang kehilangan anggota di Malaysia agak rendah, tidak seperti di negara maju.

Terutamanya apabila mereka dapat mengadaptasi rutin harian dengan menggunakan anggota sedia ada tanpa menyedari aktiviti harian dapat dioptimumkan dengan penggunaan anggota tiruan.

“Selain itu, masyarakat kita cenderung merenung mereka yang mengenakan anggota palsu. Golongan itu dianggap lain daripada lain.

“Sedangkan di negara maju, rekaan anggota prostetik dibuat mengikut trend semasa antaranya meniru watak filem seperti Iron Man dan karakter animasi. Ia juga dianggap sebahagian daripada fesyen yang sentiasa berubah-ubah.

“Tujuan kami memilih corak batik kerana ingin mengangkat warisan negara ini kepada komuniti penyelidik prostetik sedunia,” katanya.

Proses

Sementara itu, rakan penyelidik merangkap juruprostetik dan ortotik, Waqas Mehmood berkata, corak batik tidak dicanting secara terus pada komponen prostetik itu.

Ortotik ialah alat yang menyokong anggota badan yang lemah atau untuk membetulkan kecacatan dengan tugas juru prostetik dan ortotik adalah individu yang mereka bentuk, mengukur, serta membuat dan memadankan alat prostesik dan ortotik untuk pesakit.

Menurutnya, secara ringkas anggota prostetik terdiri daripada polimer sintetik boleh larut (PVA) selain daripada nilon, lapisan beberapa jenis fabrik seperti kain kapas dan stockinette (kain berjaring yang dikait).

Elemen-elemen tersebut menjadikan anggota prostetik lebih selesa dipakai dan bukan sekadar mengandungi plastik semata-mata.

“Menggunakan proses dipanggil laminasi, sekeping kain batik akan diletakkan di antara PVA yang menjadi lapisan pertama dan ketiga di dalam acuan prostetik.

“PVA yang bersifat boleh larut itu akan dicampur resin dan ejen pengeras bagi membolehkan kain batik turut mengeras bersama salutan PVA menjadikannya sekata dan kemas,” katanya.

Menerima tauliah daripada Persatuan Antarabangsa bagi Prostetik dan Ortotik (ISPO). Waqas menambah, cabaran utama adalah menetapkan nisbah sesuai antara campuran resin dan agen pengeras bagi menghasilkan balutan laminasi sempurna.

“Apabila kami memasukkan elemen batik, kami melakukan berpuluh-puluh kali cubaan untuk menguji ukuran mana yang sesuai. Kesilapan campuran menyebabkan prostetik yang dihasilkan tidak mengeras dengan baik dan terpaksa dibuang,” katanya.

Beliau menjelaskan, penambahan fabrik batik tidak akan memberi kesan terhadap fungsi asal soket dan langsung tidak membuatkannya menjadi lebih berat.

Waqas berkata, pihaknya telah mendapat maklum balas daripada 20 pesakit yang menggunakan inovasi baharu itu dengan tempoh menyiapkan seunit soket prostetik mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.

“Selama ini, pengguna lebih cenderung menempah soket berwarna menyamai warna kulit mereka. Ini mungkin satu langkah awal untuk kita meneroka corak-corak lain pada masa akan datang bagi memenuhi cita rasa masyarakat sesuai dengan peringkat usia dan latar belakang mereka,” katanya.

Sumber: Kosmo!, 25 Januari 2017