counter stats

Pengalaman Pahit Jadi Pendorong Kejayaan

KUALA LUMPUR: Dimarahi pegawai pakar perubatan kerana cuai dalam penyediaan anggota badan palsu sehingga pesakit mengalami luka, tersemat sebagai antara pengalaman pahit Muhamad Iman Jabilin, 25.

Beliau yang berkhidmat sebagai jurutera anggota badan palsu di sebuah syarikat swasta di Sabah, menjadikan peristiwa sewaktu awal memasuki alam pekerjaan kira-kira dua tahun lalu itu iktibar untuk dirinya lebih berhati-hati dan terus gigih membina kecemerlangan dalam kerjaya.

Terus mengorak usaha tanpa lelah menyaksikan jejaka kelahiran Ranau itu berjaya menghasilkan kaki palsu untuk seorang pesakit dan melatihnya melangkah semula walaupun terdahulu disahkan tidak boleh berjalan seumur hidup oleh pegawai perubatan.

Beliau juga menghasilkan kaki palsu untuk seorang atlet olahraga Sabah, sekali gus membantunya memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2015.

"Dua kejayaan itu menjadi kenangan manis yang menaikkan lagi semangat saya menghadapi cabaran tugas, terutama ketika berdepan klien mengalami emosi tidak stabil.

"Klien yang kudung kaki atau tangan lazimnya mengalami gangguan emosi, justeru kesilapan dalam memasang alat anggota tiruan akan menambah beban perasaan mereka," katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Muhamad Iman cekal menempuh cabaran faktor demografi di Sabah, termasuk mengharungi perjalanan ratusan kilometer untuk membekalkan peralatan berkenaan ke seluruh negeri terbabit.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan (Prostetik Ortotik), Universiti Malaya (UM) itu berkata, bidang kerjaya diceburi menawarkan peluang luas untuk berkembang seiring peningkatan permintaan bagi anggota badan palsu dan sokongan.

"Nisbah satu jurutera anggota badan palsu kepada 3,500 pesakit masih terlalu tinggi, justeru keperluan tenaga kerja profesional dalam bidang ini amat penting bagi meningkatkan perkhidmatan dan memastikan pembekalan peralatan mengikut piawaian ditetapkan," katanya.

Beliau juga mengaku pendedahan berguna diraih hasil pembabitan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan dan pengurusan program ketika zaman kampus, banyak membantu dirinya dari aspek kemahiran berkomunikasi serta pembahagian masa secara lebih teratur.

"Pergaulan merentasi pelbagai lapisan masyarakat turut menjadikan saya lebih bertoleransi dan memahami komuniti di sekeliling," katanya.

Pengalaman Pahit Jadi Pendorong Kejayaan
Sedang menyiapkan pembuatan komponen kaki palsu diperlukan oleh pelanggan

Sumber: Berita Harian, 21 September 2017