counter stats

Sambung Pengajian Dalam Bidang Kejuruteraan

Universiti Malaya (UM) membawa perubahan dalam dunia pengajian tinggi di Malaysia dengan menawarkan peluang kepada pelajar untuk membuat permohonan secara terus bagi menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan untuk ambilan tahun akademik bermula September 2017.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, permohonon dibuka kepada pelajar yang memiliki taraf pendidikan A-Level, Diploma Sarjana Muda Antarabangsa (IB), matrikulasi atau pengajian asasi, diploma, STPM dan kelayakan lain yang memenuhi syarat kemasukan ke program kejuruteraan.

“Kami amat memberi penekanan kepada pemilihan pelajar yang cemerlang dan graduan akan ditawarkan peluang menyertai fakulti kami yang bertaraf dunia,” katanya.

Menurut beliau, ijazah yang dikeluarkan turut memiliki akreditasi daripada Lembaga Jurutera Malaysia dan Washington Accord yang membolehkan graduan mendapat peluang pekerjaan di seluruh dunia.

Katanya, yuran pengajian untuk program ijazah selama empat tahun itu juga amat berpatutan dengan bayaran hanya RM90,000.

Mereka yang berminat boleh memohon secara dalam talian melalui http://umcced.edu.my/index.php/engineering.

Lima program yang ditawarkan ialah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati di https://engine.um.edu.my. Tarikh tutup permohonan adalah pada Jumaat, 25 Ogos 2017.

Fakulti Kejuruteraan UM berada di tangga ke-35 dalam penarafan QS World University Rankings 2017 baru-baru ini.

Kedudukan itu adalah lebih tinggi berbanding fakulti kejuruteraan di Princeton (ke-37), University of Sydney (ke-41) dan Cornell (ke-47).

Dalam penarafan QS Rankings mengikut subjek pula, bidang kejuruteraan elektrik UM berada di tangga ke-23, diikuti kejuruteraan mekanikal di tangga ke-33 dan kejuruteraan kimia di tangga ke-38, iaitu setaraf dengan universiti terkemuka lain di seluruh dunia.

Mahasiswa di fakulti kejuruteraan akan dilengkapi dengan kemahiran aplikasi dunia sebenar dalam pelbagai industri di UM memandangkan syarikat seperti Daikin, ÷ssur dari Iceland, Rohde & Schwarz, Motorola Solutions, dan PROTON menubuhkan pusat inovasi masing-masing di kampus kejuruteraan.

Sumber: Harian Metro, 05 Jun 2017