counter stats

Tingkat Daya Emosi: Bantu Memartabat Sukan OKU

Ketidaksempurnaan fizikal yang dimiliki bukan penghalang untuk orang kurang upaya (OKU) untuk hidup aktif, bersukan, beriadah dan bergembira bersama masyarakat sekeliling.

Menyedari kepentingan riadah kepada OKU, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Prostetik dan Ortotik, Universiti Malaya (UM) berusaha memberi kemudahan sukan terbaik kepada kumpulan itu menerusi Program Be Able.

Program Be Able yang bermula Ogos lalu memilih komuniti Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian (PLPP) Bangi sebagai kumpulan sasaran untuk projek itu.

Seramai 45 pelatih PLPP Bangi dibawa ke UM untuk tujuan itu selain mendedahkan mereka dengan kehidupan kampus.

Tingkat Daya Emosi
BE Able bersama 45 pelatih OKU PLPP.

Pengarah Be Able Dr Nasrul Anuar Abd Razak berkata, sukan dan pemulihan antara aktiviti yang cuba diketengahkan Be Able.

“Melalui aktiviti ini, pasukan Be Able bukan saja bersukan bersama OKU, kami cuba meningkatkan daya emosi dan interaksi di antara warga OKU bersama masyarakat.

“Rata-rata mereka yang bergelar OKU mempunyai masalah keyakinan diri untuk berinteraksi dengan orang ramai.

“Melalui aktiviti bersukan, mereka menerima layanan interaksi seperti biasa, supaya rasa tidak dipinggirkan,” katanya.

Tingkat Daya Emosi
SESI sukan dan pemulihan bola tampar duduk OKU bersama penuntut.

Beliau berkata, golongan OKU bakal menjadi mercu tanda kepada usaha kerajaan untuk memartabatkan sukan OKU supaya ia seimbang dengan pencapaian atlet berkemampuan biasa sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Katanya, selaras hasrat kerajaan untuk mewujudkan budaya negara bersukan (sporting nation), setiap individu di negara ini mempunyai hak untuk bersukan sama ada sukan berbentuk riadah, kesihatan mahupun berbentuk pertandingan. Budaya bersukan perlu dimulakan dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Menjelaskan berkenaan Be Able, Dr Nasrul berkata program itu adalah salah satu projek di bawah Pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan berpandukan konsep UCTC (University Community Transformation Centre).

Oleh itu, katanya, program itu mengetengahkan aktiviti daripada komuniti universiti kepada komuniti OKU.

Tingkat Daya Emosi
PENUNTUT UM mencuba bola tampar duduk.

“Be Able adalah platform penuntut dan pendidik universiti berkongsi ilmu, pengajaran, pengalaman dan fasiliti yang terdapat di universiti bersama warga komuniti OKU.

“Program ini terbahagi kepada beberapa aktiviti berupa pengajaran, teknologi, sukan dan sosial dengan tujuan meningkatkan keyakinan OKU,” katanya.

Jelas beliau, program ini direalisasikan melalui perbincangan seorang pesakit jemputan di UM iaitu Hairuman Miskon.

“Beliau menyatakan hasrat sekiranya universiti dapat membuka dan memberi peluang kepada warga OKU seperti beliau untuk merasai kehidupan dan perjalanan pengajaran di universiti.

“Melalui hasrat itu, kami membawa pelatih PLPP ke UM dan memberi peluang kepada mereka merasai kehidupan kampus.

“Beberapa lokasi didedahkan kepada OKU dalam program ini adalah antaranya Makmal Analisa Gerakan dan Pusat Kejuruteraan Prostetik dan Ortotik serta beberapa aktviti di PLPP seperti bersukan dan bersosial,” katanya.

Selain sukan dan pemulihan, objektif Be Able juga Pengajaran dan Pemulihan serta Sosial dan Pemulihan.

Hingga kini, program ini menjalankan aktiviti pengajaran dan pemulihan apabila peserta didedahkan dengan teknik yang betul dalam menjalani proses pemulihan.

Tingkat Daya Emosi
BE Able bersama pemain OKU bola tampar duduk.

“Peserta juga diperkenalkan teknik praktikal dalam menyiapkan anggota palsu di makmal analisis gerakan.

“Di sini peserta diterangkan kepentingan gerakan analisis tubuh badan dalam melengkapkan satu kitaran perjalanan.

“Pendedahan ini dapat membantu OKU untuk mengguna pakai alat bantuan mereka dengan cara yang betul lebih-lebih lagi ketika menjalani aktiviti kehidupan seharian,” kata Dr Nasrul.

Kata beliau, Be Able juga menjadi platform kepada peserta berkongsi pengalaman hidup mereka.

“Datang daripada pelbagai latar belakang keluarga, peserta tidak malu berkongsi pengalaman hidup sebelum dan selepas bergelar OKU.

“Malah ia dijadikan iktibar bagi semua pihak terutama penuntut UM,” katanya.

Tingkat Daya Emosi

Sumber: Harian Metro, 2 Oktober 2017