Gergaji Jika Diubah Boleh Jadi Lain Tau

Pengubahsuaian semula bahan buangan kepada sesuatu barang yang berguna dapat menghasilkan barangan gunaan yang lebih berkualiti di samping menggunakan kos yang rendah. Atas dasar tersebut, penyelidik dari UM, Dr. Mohd Sayuti Ab Karim telah mencipta inovasi baru menggunakan bilah gergaji untuk menghasilkan pisau.

Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanik Fakulti Kejuruteraan, memilih bahan dari mata gergaji kerana bilahnya yang tajam dan berkualiti serta tahan lasak. Yang menariknya, mata gergaji yang telah diguna pakai memberikan kualiti yang lebih baik kepada mata pisau berbanding mata gergaji yang belum diguna pakai.

“Proses menghasilkan mata pisau ini melibatkan proses pemotongan bahan mengikut reka bentuk yang diingini di samping proses mencanai dan proses mengasah yang perlu dibuat dengan rapi dan teliti bagi menghasilkan output yang baik,” kata Mohd Sayuti.

Selain penghasilan pisau ini dipakai untuk kegunaan harian, dalam industri kesenian dan kreatif, ianya mampu mendapat tempat di kalangan peminat pisau bagi tujuan koleksi.

Buat masa ini kaedah untuk menambah baik bahan terpakai ini sedang diselidik bagi memastikan ianya dapat dikembangkan ke peringkat kebangsaan sejurusnya ke peringkat antarabangsa di mana ianya dapat menarik minat pelancong asing khususnya yang berminat akan barang-barang buatan tangan seperti ini.

Penyelidik, Dr. Mohd Sayuti Ab Karim

Proses menghasilkan mata pisau perlu dibuat dengan teliti dan rapi