Melihat Budaya Jepun Menerusi Kaca Mata Ilmiah

Sekumpulan 21 pensyarah dari 15 universiti awam telah dijemput untuk menyertai satu program pertukaran budaya dan akademik di Jepun, baru-baru ini. Antara universiti yang terlibat Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, dan lain-lain.

Program dinamakan Jenesys ini telah membawa para peserta menjelajah ke beberapa bandar utama Jepun, iaitu Tokyo, Kobe, Osaka, dan Hyogo.

“Dari mengamati perjalanan parlimen Jepun, sehinggalah sesi perkongsian tata cara kehidupan rakyat Jepun oleh Profesor Emeritus Akita Nakamura dari Universiti Meiji, para peserta telah diterapkan pemahaman yang mencukupi bagi menerima gambaran sebenar mengenai rentak hidup warganegara matahari terbit ini,” kata pensyarah kanan dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamadariff Othman, yang juga salah seorang delegasi program.

Program tahunan kali keempat ini merupakan anjuran Japan International Cooperation Center (JICE), dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Program ini memfokuskan penyertaan kepada pensyarah-pensyarah muda yang berumur 35 tahun dan ke bawah dalam bidang sains dan teknologi daripada universiti awam seluruh negara,” katanya.

Menurutnya lagi, program ini antara lainnya bertujuan membina asas persahabatan dan kerjasama masa depan yang rapat di antara kedua-dua negara dari aspek akademik dan penyelidikan, selain memberi gambaran sebenar mengenai ekonomi, masyarakat, sistem politik, dan dasar luar negara Jepun.

Program yang berlangsung selama lapan hari ini memberi peluang kepada para peserta untuk mendekati budaya Jepun, terutama dari budaya kerja yang membawa kepada kecemerlangan bidang penyelidikan.

“Selain itu, para peserta juga diberi gambaran sebenar mengenai aspirasi dan konsep jati diri rakyat Jepun, melalui upacara meminum teh hijau, lawatan ke parlimen dan istana pemerintah terdahulu, lawatan ke kompleks penyelidikan, dan lain-lain,” katanya.

Menariknya, para peserta turut dibawa ke pameran tetap mengenai tragedi gempa bumi yang melanda bandar Kobe pada 1995 dan mengorbankan lebih 6,000 orang. Tragedi gempa bumi yang kedua terkuat dalam sejarah Jepun untuk abad ke-20 ini telah mencatatkan bacaan 7.1 pada skala Richter.

“Melalui pameran ini, terserlah sisi kemanusiaan rakyat Jepun yang sebenarnya tidak banyak berbeza dengan rakyat negara lain yang mahukan yang terbaik untuk negaranya dalam apa juga keadaan darurat yang menimpa. Dan melalui usaha berpasukan yang gigih sahaja menjadikan objektif ini bakal tercapai,” katanya.

Di penghujung program, para peserta diminta membentangkan kesemua hasil dapatan yang diperoleh sepanjang mereka berada di Jepun. Mereka juga diminta untuk membentangkan pelan perancangan masing-masing bagi mencapai objektif program yang memperlihatkan kerjasama di antara Malaysia dan Jepun di samping memperkukuhkan persefahaman yang terhasil melalui program ini.

Bergambar di hadapan Istana Himeji
Bergambar di hadapan Istana Himeji

Mohamadariff (tiga kanan) dan peserta program bergambar kenangan di hadapan bangunan parlimen Jepun
Mohamadariff (tiga kanan) dan peserta program bergambar kenangan di hadapan bangunan parlimen Jepun.

Antara bahan pameran gempa bumi di Kobe

Antara bahan pameran gempa bumi di Kobe

Antara bahan pameran gempa bumi di Kobe
Antara bahan pameran gempa bumi di Kobe.