Memasyarakatkan Pengetahuan Sains Pada Pergerakan Solat

Ibadah solat (sembahyang) ialah rukun Islam yang kedua. Orang Islam wajib melaksanakan sembahyang fardu lima kali sehari semalam. Mereka juga digalakkan melaksanakan beberapa sembahyang sunat dalam kehidupan seharian. Penekanan terhadap ibadat solat menandakan solat mempunyai kebaikannya. Malah, manfaat solat dari segi rohaniah banyak diperkatakan dalam al-Quran, hadis, dan tulisan para ulama. Secara amnya, ibadat solat mempunyai pengertian yang amat luas. Bagaimanapun, dari sudut Sains kesihatan fizikal dan mental, solat ialah cara untuk memperoleh tahap kesihatan yang baik. Gerakan badan yang tersusun dan tertib dalam solat, dapat meningkatkan daya prestasi tubuh.

Postur solat dan komposisi badan

Komposisi badan merupakan penanda utama dalam menentukan kesihatan tubuh badan manusia. Komposisi badan terdiri daripada 3 bahagian utama iaitu taburan jisim termasuk tisu otot dan lemak, kompartmen air dan nilai konduktiviti bioelektrikal dalam tisu. Pengukuran parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan kesihatan seseorang individu.

Kajian telah menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna. Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah. Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

Kebaikan pergerakan rukuk khususnya, melibatkan kedudukan tulang belakang yang lurus melintang atau 90 darjah berserta tamakninah telah dibuktikan memberi manfaat dari segi meninggikan sudut fasa, jisim sel badan, dan bendalir dalam sel berbanding seseorang yang rukuk dalam keadaan tulang belakangnya tidak 90 darjah. Peningkatan bendalir di dalam sel dan juga sendi-sendi dapat memudahkan pergerakan sendi seterusnya berpotensi untuk mengurangkan risiko sakit lutut atau sendi pinggul (arthritis) sekali gus merawat simptom yang berkaitan dengan sakit sendi.

Pergerakan relatif dalam solat

Pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang meletakkan otot pada kedudukan mengecut, santai atau mengembang. Justeru secara tidak langsung ianya boleh diumpamakan sebagai senaman ringan. Kajian-kajian mengenai kebaikan senaman terhadap komposisi badan telah banyak dijalankan. Hasil daripada sebahagian kajian telah menyimpulkan bahawa senaman ringan dapat membakar lemak badan, manakala senaman lasak pula membakar karbohidrat.

SMARTMF sebagai Inovasi Sains Solat

Namun begitu, bagaimana kita boleh mengetahui sama ada kita melakukan gerakan solat yang betul? Persoalan ini telah diselesaikan dengan inovasi kami sendiri iaitu SMARTMF. SMARTMF merupakan sebuah mesin analisis bioimpedans berbilang (MFBIA) untuk memantau komposisi badan pengguna dan pengurusan penyakit. Individu yang ingin melakukan audit solat dikehendaki mengukur komposisi badan sebelum dan selepas solat.

Perkakasan (dipasang di dalam kotak 8x4.5x2 sentimeter) boleh mengukur parameter impedans pada 5kHz, 50kHz, 100kHz dan 200kHz, dengan arus keluaran kurang daripada 1 mA. SMARTMF adalah peranti perubatan yang bersifat tidak invasif yang digunakan oleh para pengamal perubatan dengan objektif utama untuk memantau komposisi badan pengguna. Jika selepas solat kadar lemak tidak dapat dikurangkan ini bererti individu tersebut telah mempraktikkan gerakan solat yang kurang sempurna.

SMARTMF dapat memberikan penilaian komposisi badan yang tepat dan modul perisiannya dapat di program untuk memantau penyakit kronik seperti HIV, denggi, tahap kolesterol dalam badan, terapi menguruskan badan dan pengauditan solat. Dengan anggaran komposisi badan tersebut para pengamal perubatan dapat merancang dan mengutamakan program kesihatan pesakit dengan lebih teratur.

Selain itu, SMARTMF boleh mendiagnosis penyakit dan mengukur keberkesanan rawatan. Justeru, dapat membantu para pengamal perubatan untuk membuat keputusan berdasarkan penilaian komposisi badan pesakit. Produk pintar tanpa wayar ini dijangka berada di pasaran pada bulan Mei 2018.

Buat masa ini, produk ini sedang giat menjalankan percubaan klinikal. Walaupun masih belum berada di pasaran, produk ini telah menarik perhatian ramai doktor terutamanya di PPUM yang telah mevalidasikan SMARTMF untuk memantau pesakit-pesakit HIV dan juga kadar kolesterol di kalangan warga tua. Bukan itu sahaja, produk ini telah juga digunakan untuk audit solat dan terapi menguruskan badan sejak dari tahun 2012 lagi. Kesimpulannya, produk ini telah mendapat sambutan baik daripada pihak industri yang berminat untuk sub lesen dan mengkomersialkan produk ini.

Peranti sedang dipasangkan pada subjek untuk diukur parameter fisiologinya setelah melakukan solat
Peranti sedang dipasangkan pada subjek untuk diukur parameter fisiologinya setelah melakukan solat

Pengukuran tahap kolesterol tanpa invasif sebelum solat
Pengukuran tahap kolesterol tanpa invasif sebelum solat

Mempamerkan innovasi peranti Audit Solat kepada orang ramai semasa Malaysia Techonolgy Expo di PWTC 22-24 Februari 2018
Mempamerkan innovasi peranti Audit Solat kepada orang ramai semasa Malaysia Techonolgy Expo di PWTC 22-24 Februari 2018

Prof. Fatimah Ibrahim (kiri) memberi penerangan mengenai pergerakan solat yang baik
Prof. Fatimah Ibrahim (kiri) memberi penerangan mengenai pergerakan solat yang baik

Gambar rajah peranti SMARTMF yang dibangunkan Prof. Fatimah Ibrahim
Gambar rajah peranti SMARTMF yang dibangunkan Prof. Fatimah Ibrahim