Pensyarah Kejuruteraan UM Bantu Gelandangan Dan Miskin Bandar

Sekumpulan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan sebuah program ringkas bersama hampir 400 orang gelandangan dan miskin bandar di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aktiviti kemasyarakatan ini dilaksanakan dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan KASEH4U, bersama sukarelawan yang terdiri dari mahasiswa UM. Mereka telah membungkus makanan yang disumbangkan sebuah restoran berdekatan, sebelum mengedarkannya kepada penerima yang hadir.

“Saya tidak menjangka yang aktiviti mudah sebegini mampu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya dan rakan sukarelawan lain. Rasa bersyukur dengan apa yang dimiliki sebenarnya mampu menjadi motivasi besar kepada warga pendidik dan penyelidik untuk terus bekerja bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas,” kata Dr. Nurin Wahidah Mohd. Zulkifli, pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Mekanik, yang mengetuai pensyarah UM dalam program ini.

Selain mengagih makanan, sukarelawan juga sempat mendekati beberapa keluarga yang hadir untuk beramah mesra. “Saya gembira kerana meluangkan masa mendekati anak-anak mereka yang sebenarnya amat berminat untuk berjaya di sekolah, dalam usaha mereka mengubah masa hadapan mereka sekeluarga. Walaupun perjalanannya agak jauh untuk memotivasikan anak-anak ini supaya melanjutkan pelajaran hingga ke universiti, namun saya pasti kesedaran mengenai kepentingan pendidikan harus diterapkan kepada ibu bapa mereka seawal yang mungkin,” kata Dr. Wong Wei Ru, pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Elektrik yang menjadi sukarelawan program.

Tetamu berbaris menerima makanan.
Tetamu berbaris menerima makanan

Kanak-kanak dan keluarga mengambil bahagian di sudut aktiviti
Kanak-kanak dan keluarga mengambil bahagian di sudut aktiviti

Fakulti Kejuruteraan UM telah dinobatkan sebagai fakulti kejuruteraan yang ke-22 terbaik di dunia, dari lebih 20,000 institusi yang dinilai, dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2019 yang diterbitkan pada 6 Jun 2018.

“Program mendekati masyarakat sebegini dilihat mampu membantu ke arah usaha peningkatan penarafan yang lebih tinggi pada masa hadapan, terutamanya dari aspek reputasi institusi,” kata Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri, pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan yang turut mengambil bahagian dalam program ini.

Menurut Dr. Nahrizul Adib lagi, keterlibatan para pensyarah dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan secara langsung turut memberi impak positif kepada usaha pembangunan mahasiswa yang positif dan berdaya saing.

“Apabila mereka (mahasiswa) melihat yang pensyarah juga bersungguh-sungguh berusaha setakat termampu dalam membantu golongan masyarakat yang terpinggir ini, mereka tentunya akan terpanggil untuk menjadikan diri mereka ejen perubahan masyarakat yang efisien pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: KampusUOLS, 12 Jun 2018