Sarjana Kejuruteraan Pembuatan UM Menyemarakkan Industri Pengeluaran

Kejuruteraan pembuatan adalah cabang bidang kejuruteraan khusus yang memerlukan pemahaman mengenai proses dan kaedah pengeluaran yang terlibat di dalam sesebuah industri berasaskan kejuruteraan. Seseorang jurutera pembuatan seharusnya fasih dalam merancang dan melaksana setiap proses pembuatan dan pengeluaran, dan mampu melakukan penyelidikan dan seterusnya membangunkan peralatan, proses, dan peranti yang diperlukan bagi memastikan pengeluaran yang berkualiti pada kos yang optimum.

Sehubungan dengan itu, bidang pengajian kejuruteraan pembuatan telah diperkenalkan di peringkat sarjana di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2006. Penawaran kursus secara mod penyelidikan (M.Eng.Sc) dan kerja kursus (M.Eng.) telah dikelolakan oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanik.

“Objektif utama penawaran kursus sarjana ini adalah bagi menghasilkan graduan berhemah tinggi, serba boleh, berdaya saing dan berinovasi yang mampu menerokai dan menggembleng teknologi telekomunikasi terkini serta sumber yang ada untuk kemajuan dan kesejahteraan negara. Graduan program ini juga diharapkan mampu bergerak dan berusaha sama dengan industri tempatan serta antarabangsa bagi memperkayakan pendekatan memperalatkan teknologi dengan tujuan meningkatkan produktiviti negara,” kata penyelaras program Sarjana Kejuruteraan Pembuatan, UM, Dr. Azuddin Mamat.

Menurut Dr. Azuddin, program pengajian sarjana secara kerja kursus ini direka khusus untuk para graduan yang mempunyai minat untuk menambah pengetahuan dari aspek penyelidikan dan industri di dalam bidang pengkhususan kejuruteraan pembuatan.

“Kami menerima para graduan lepasan ijazah sarjana muda kejuruteraan dalam bidang yang berkaitan. Oleh kerana bidang kejuruteraan pembuatan ini adalah berbentuk pelbagai disiplin, maka sesiapa sahaja pemegang ijazah sarjana muda kejuruteraan yang berminat sebenarnya layak untuk memohon memasuki program ini,” katanya.

Kesemua kandungan program sarjana secara kerja kursus yang ditawarkan di Fakulti Kejuruteraan UM, termasuklah Sarjana Kejuruteraan Pembuatan, telah disusun agar membenarkan pelajarnya diberi pendedahan mengenai bidang penyelidikan terkini, selain dari pengukuhan kepada pengetahuan asas yang diperoleh semasa pengajian ijazah dasar.

Kepakaran kejuruteraan pembuatan antaranya diaplikasikan untuk industri automotif.
Kepakaran kejuruteraan pembuatan antaranya diaplikasikan untuk industri automotif.

Di dalam pengkhususan kejuruteraan pembuatan, para pelajar bakal didedahkan dengan pengetahuan tambahan yang dibina dari ilmu asas yang diperoleh semasa menyiapkan ijazah sarjana muda terdahulu. Bidang pengetahuan yang dimaksudkan termasuklah ergonomik dalam kejuruteraan dan reka bentuk, proses-proses pembuatan moden, automasi dan kawalan pembuatan, pemilihan dan reka bentuk bahan, dan juga metodologi penyelidikan dan pengurusan projek.

Antara hasil kejuruteraan pembuatan di UM
Antara hasil kejuruteraan pembuatan di UM

“Para pelajar juga berpeluang menimba ilmu di dalam beberapa bidang teknologi terkini dana mat relevan di dalam industri seperti reka bentuk dan pembangunan produk terbantu komputer, pembuatan berintegrasi komputer, kepintaran buatan dalam robot, analisa unsur terhingga, permodelan dan simulasi dalam pembuatan, strategi pembuatan global, kejuruteraan penyenggaraan, robot industri, kejuruteraan kualiti dan kebolehharapan, kejuruteraan permukaan moden, kejuruteraan balikan dan prototaip pantas,” kata Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanik UM, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Faizul Mohd. Sabri.

Program sarjana kejuruteraan pembuatan telah menghasilkan lebih kurang 200 orang graduan sejak penubuhannya. Kebanyakan daripada mereka telah meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, dan seterusnya berkhidmat sebagai pensyarah dan penyelidik di pelbagai institusi pengajian dan penyelidikan.

Selebihnya, graduan yang menghabiskan pengajian di peringkat sarjana ini akan meneruskan pembinaan kerjaya di dalam industri yang dipilih, sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

Sumber: KosmoUOLS, 29 Mac 2018